“SAYA tak nak komen apa-apa. Mereka tak ada kena mengena dengan saya, dan saya tak perlu ambil tahu perkara berkaitan mereka!".
Begitulah reaksi aktres jelita Rita Rudaini, berhubung berita perkahwinan bekas suaminya, Aidil Zafuan dengan kekasih, Zarema Zainal, yang menjadi bualan hangat sejak kebelakangan ini.
Rita yang ditemui pada malam gala filem Balistik, di The Curve, malam kelmarin, bagaimanapun tidak keberatan mengulas mengenai tuntutan nafkah terhadap pemain bola sepak kebangsaan itu, bagi anak-anaknya. Menurut pelakon Sehangat Asmara ini, kes itu masih berjalan dan dia masih menunggu keputusan positif daripada pihak mahkamah terhadap tuntutan itu. Aktres ini turut menyangkal dakwaan tindakan meminta bayaran tuntutan nafkah melebihi keperluan kedua anaknya yang dikatakan keterlaluan.
Menurutnya, tindakannya menuntut sebanyak RM5,000 sebulan itu sangat relevan memandangkan sebelum ini, dia mengorbankan pendapatannya setiap bulan demi anak-anaknya. “Jumlah tersebut adalah perbelanjaan bulanan saya. Dia (Aidil) tak pernah ambil tahu keperluan itu dan hanya membayar nafkah RM2,000 untuk dua anak kami. Sedangkan semua barang keperluan mahal. “Masa saya dengan dia, saya yang uruskan hal anak-anak.
Kalau nak cakap, anak-anak dah besar tak payah lagi minum susu, orang dewasa macam kita pun, minum susu juga. “Hanya orang yang mempunyai anak saja yang tahu dan faham tentang perbelanjaan anak-anak. Itu pun saya dah kurangkan tuntutan sepatutnya yang saya minta dari dia.
Nasib baik juga saya bekerja,” katanya. Menafikan dia menuntut nafkah secara eksklusif dan mempunyai selera ‘high maintanance’, Rita menegaskan, dia hanya mahu memberikan yang terbaik untuk kedua anaknya, baginya Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 2, adalah darah dagingnya, bukan anak tiri atau anak angkat. “Saya sememangnya mahukan yang terbaik untuk membesarkan anak-anak saya. Mereka darah daging saya.
Tentulah banyak benda terbaik yang perlu saya berikan kepada mereka. Termasuklah khidmat hospitaliti terbaik,” katanya yang mengakui memilih hospital swasta berkenaan untuk merawat kesihatan kedua anaknya. Sebelum ini, Rita dan Aidil pernah bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008. Namun, selepas beberapa tahun berdepan dengan konflik rumah tangga, akhirnya pada 3 Ogos lalu Aidil menceraikan Rita dengan talak 1 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Sumber SH
Post a Comment